Habis sahaja Diari AF, aku check persiapan buat kali terakhir. Yaya dah bergenang-genang air mata dah. Maka terpaksa la aku cakap yang aku ada kerja kat ofis. Tapi anak aku dah besar, dah boleh fikir. Pe hal lak nak kena bawak beg bagai gi ofis. Perkara terakhir, kena la janji nak beli macam-macam bila aku balik nanti. Nora pesan cam biasa, "Jangan nak suka² sangat, awak tu pantang dapat peluang". Ye laaa, ye laaa *mode sopan* huhuhu.
9.30 aku dah bertolak keluar ke Wisma Bernama dengan menunggang motor bomba. Singgah kedai dulu beli stok rokok dan krim penghalau serangga. Best jugak naik motor memalam ni, jalan pun lapang. Sampai Wisma Bernama, aku park motor betul-betul depan post guard. Pesan kak Pakcik tu suh tengok-tengokkan motor aku. Beg aku letak pada kumpulan budak-budak perempuan yang dah sampai. Awal lagi, aku naik ke tingkat 4 bahagian Teknikal. Kat sana ramai budak-budak lepak sambil tunggu Samarinda. Aik, korang layan jugak?
Tak sempat panas kerusi, Ziela datang dengan healernya suh turun ke bawah pasal bas nak jalan. Sampai bawah, masukkan beg dalam bas B. Ziela sempat pesan kat aku, tolong baca doa sebelum bas bertolak. Humang.. aku tak prepare apa pun, takkan nak baca doa naik kenderaan pendek tu je. Pesan la awal-awal kok ye pun. Sementara menunggu kehadiran diambil, sempat la posing-posing sambil makan langsat. Rombongan kami seramai 60 orang akan bertolak dalam dua bas. Jadi agak lapang la. Mula-mula aku duduk sebelah Zuraidi, pastu dia hilang duduk kat depan.
Lepas dah tentu tempat duduk, kami semua turun balik bagi mendengar ucapan alu-aluan dari Pengerusi BESSAR, Dato' Zakaria Abdul Wahab. Lepas tu tak semena-mena MC panggil aku suruh baca doa. Isk.. tetiba lak datang darah gemuruh. Nak tak nak kena la aku capai healer & baca Al-Fatihah, doa naik kenderaan dan 'Ya Allah, kau selamatkan perjalanan pergi dan balik kami dan semoga kami mencapai apa yang kami hajatkan' Robbana sampai habis. Boleh? Orang tak betul tadah tangan lagi aku dah habis hehehe. Panik tetiba je. Pastu naik bas dan aku sambung baca doa sendiri-sendiri hehehe. Dah sudahhhh.. enjin bas pulak takmo hidup. Mula la terdengar suara-suara sumbang di belakang mengatakan yang tadi aku baca doa pendek sangat. Ceh, cabul sungguh mulut mereka. Turun bawah balik dan sambung makan langsat. Dekat 11.30 barulah masalah berjaya diatasi dan kamipun memulakan perjalanan. Yay! Perjalanan bermula dari Wisma Bernama memasuki Jalan Ampang dan kemudiannya menyusuri MRR2 dan terus melalui Lebuhraya Karak. Kami berhenti di sebuah stesyen minyak selepas tol Gombak dan ada penumpang dari bas B menaiki bas A dengan alasan bas A ada tayangan perdana Spiderman 2. Lantok kome la, aku naik bas dan terus tidur dengan mudahnya. Badan letih dan kegelapan malam memang situasi yang aku suka ketika berada di dalam bas.
Kemalangan dan Penantian
Beberapa kali bas berhenti namun tak berjaya untuk mengejutkan aku. Cuma seketika itu aku rasa lama sungguh bas ni berenti dan kedengaran suara-suara orang bercakap dengan agak kuat. Aku terus turun ke bawah dan dalam keadaan mamai, dapat menangkap biji butir percakapan mereka. Rupa-rupanya bas A terlibat dalam kemalangan bersama sebuah lori balak di Air Puteh. Kami waktu itu berada di Bukit Besi atau dalam nama hensemnya, Bandar Muta'a Billah. Suasana agak kacau kerana tempat berlakunya kemalangan tersebut tidak terdapat sebarang talian untuk dihubungi, hanya talian tetap kediaman sahaja yang ada (terima kasih kepada pakcik yang memberi tumpang kepada mereka). Pemandu bas B pula tidak mahu berpatah balik dengan alasan beliau hanya mempunyai tenaga untuk ke Kuala Trengganu sahaja.
Perbincangan berlarutan sehinggalah melewati waktu Subuh. Seterusnya, selepas mengetahui yang penumpang bas A dalam keadaan selamat dan berusaha mendapatkan bas bantuan, kami meneruskan perjalanan dan aku terus melelapkan mata. Peh, senapas.
Aku terbangun kembali ketika bas berhenti di kedai Kak Pah, pantai Batu Buruk untuk bersarapan pagi. Tak lama masa yang diperuntukkan kerana kami perlu mengejar bot yang akan berlepas di jeti Shahbandar pada jam 9.30. Tak sempat gamaknya nak makan nasi dagang sampai kenyang. Kami terus bergegas ke jeti Syahbandar sambil menyumpah-nyumpah mereka yang berpindah ke bas A tetapi dalam masa yang sama tidak membawa beg sekali. Rasa nak campak je dalam laut. Detik-detik awal ketika feri meninggalkan jeti, kami galak bergambar sekali lagi. Tapi tak lama kerana ketika feri menghampiri laut lepas, mata masing-masing sudah layu dan feri yang kosong dan berhawa dingin memudahkan kami untuk berlunjur kaki. dan terlelap. Lapor po Watakunsi.. Landing Time!
Pehh.. Redang
Aku tersedar ketika feri menghampiri gugusan pulau-pulau berhampiran Redang. Ketenangan air yang membiru langsung menyegarkan mata. Feri tidak dapat menghampiri pantai, lalu kami bertukar pula kepada bot nelayan. Selepas itu bertukar lagi kepada bot laju untuk menghampiri pantai. Gembira sungguh perasaan kami sehingga terlupa kumpulan bas A yang ketinggalan. Kami diberikan penerangan pendek mengenai resort Redang Camp Site. Segala-galanya tampak menyenangkan dengan binaan dari buluh dan kayu memang menepati konsep mereka : Back To Nature. Kami juga diberitau yang rombongan bas A hanya akan tiba dengan menggunakan bot jam 3.30 petang nanti. Hidangan tengah hari tampak sungguh menyelerakan ketika perut kelaparan ditambah dengan hujan renyai-renyai. Selepas itu melabuhkan diri dan mandi di dalam bilik. Sungguh selesa katil bersaiz queen di letakkan sebelah-menyebelah bagi kemudahan 4 orang sebilik. Bilik air juga sempurna dengan pancur atas dan sinki. Yang kureng cuma bekalan elektrik bermula dari jam 6 petang sehingga 7 pagi sahaja. Selepas mandi dan bersolat, aku tidur sebentar bagi menghilangkan sisa kepenatan. Petang itu, kami sepakat untuk snorkeling di persekitaran resort. Airnya agak dalam tetapi sinaran cahaya yang menembusi air membolehkan coral dilihat dengan jelas. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana kami memakai jaket keselamatan beserta snorkeling gear. Keghairahan mengejar ikan-ikan dan melihat coral yang disinari matahari membawa kami hampir 50 meter dari persisiran pantai tanpa disedari.
Yay, kawanku selamat
Rombongan bas A tiba lebih kurang jam 5 petang. Kami menyambut mereka seperti sudah lama tidak berjumpa. Berpelukan dan juga bergumpalan di atas pasir.
Topik utama sudah semestinya, "Macam mana boleh accident?" Di sebalik gambaran yang agak mengerikan, tahap kecederaan hanyalah sekadar luka-luka kecil terkena serpihan tingkap. Suasana kembali ceria dengan gelak ketawa dan kutuk mengutuk antara lain kerana rakanku Yazid terlebih berat, Razi yang bertukar dari bas B ke bas A dan membawa badi serta tak terkecuali bacaan doaku yang terlalu pendek. Ceh... kena jugak.
Selepas minum petang dan juga solat, kami meneruskan kembali aktiviti snorkeling dan mandi-mandi secara bebas. Peluang terpisah dari anak isteri dan suasana kerja menjadikan kami seperti kanak-kanak yang pertama kali bermain pasir. Juga kelihatan pengguna-pengguna telefon bimbit yang resah mencari coverage untuk menghantar laporan masing-masing. Perlu diingatkan, talian 012 sahaja yang bermaharajalela di sini. 019 pula hanya boleh menghantar SMS (dan AFUNDI) kerana tahapnya hanya satu atau dua bar di tempat-tempat tertentu sahaja.
Melihat matahari terbenam di tengah-tengah laut China Selatan juga merupakan pengalaman yang sangat berharga kepadaku. Rasa agak menyesal juga kerana selama ini aku tidak pernah ke Tioman, walaupun sebulan sekali aku pulang ke Mersing. Matahari perlahan-lahan meyembunyikan dirinya di celah-celah gigi air yang kebiruan bagi memberi laluan kepada malam untuk berlabuh. Pehhhh...
Malam di Long Island, Long Beach la!
Selepas makan malam yang menyelerakan, sempat menyaksikan sebahagian sahaja dari Diari AF 

melalui rangkaian Astro yang disediakan. Dato' Z sekali lagi memberikan ucapan dan sebenarnya bercerita mengenai detik-detik mencemaskan ketika kemalangan berlaku. Selepas
itu Dr. Simon pula mengambil alih bagi memberi penerangan akan program Team Building yang akan diadakan esok. Sheikh selaku MC
pula mengumumkan yang kami akan ke Long Island dan beberapa kali perlu diperbetulkan kerana ianya adalah sebenarnya Long Beach. Kami kemudiannya menaiki bot nelayan untuk ke sana.
Benarlah seperti yang digambarkan bahawa Long Beach boleh diibaratkan seperti Bintang Walk di Kuala Lumpur. Malamnya hidup dengan cahaya serta beraneka deretan pusat hiburan, kedai cenderahati serta gerai makanan. Di sini juga terdapat hotel bertaraf 6 bintang iaitu Laguna Redang Island. Rombongan kami menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di tepi pantai, bermain fusball serta melihat para remaja dari Singapura dan Kuala Lumpur terkinja-kinja mengikut irama disco canto pop. Hmm, ini baru betul dinamakan Beach Club.
Titanic, U Jump I Jump!
Kami pulang pada jam 12.30 menaiki bot yang sama. Oleh kerana paras air yang surut maka kami terpaksa bertukar kepada bot laju untuk ke tepi pantai. Aku bersama rakan sekerjaku seramai 5 orang dan juga PA kepada Dato' Z, Suriati (ahem) memilih untuk menjadi orang yang terakhir sekali menaiki bot. Dalam bot yang kecil dan beroleng-oleng, kami menyanyikan lagu 'Dayung sampan, dayung dayung sampan' dengan gembira sekali. Tanpa diduga semasa bot melakukan manouver ketika sampai di gigi air, Yazid tanpa semena-mena cuba terjun dari bot. Kami yang lain terpinga-pinga dan cuma sempat menyebut "Ehhh, ehhh" sebelum bot tiba-tiba terbalik. Suasana yang berlalu pantas ketika bot berada 2 kaki dari gigi air lebih mendatangkan kelucuan dari perasaan cemas.
Sambil ketawa kami terus menuju ke tepi pantai. Dari sana, pelbagai pertanyaan terpaksa dijawab kerana pada mereka, kejadian itu begitu mencemaskan dilihat dari darat. Sekali lagi Yazid menjadi mangsa kerana dia juga turut berada di dalam bas A yang kemalangan. Hari yang berlalu begitu meletihkan tambahan pula kami perlu bangun awal untuk memulakan sessi Team Building pada keesokannya. Namun ada juga yang berdegil dan bersengkang mata untuk menyaksikan Puntianak Harum Sundal Malam di dewan menonton. Aku? Mendengarkan suara pontianak mengilai sudah cukup untuk membuatkan aku bergegas naik ke bilik dan terus tidur.
Pagi yang mendamaikan
Selepas solat subuh aku terus bergegas dengan membawa kamera dan tripod ke tepi pantai. Benar seperti dijangka, agak sukar untuk melihat matahari terbit di celah-celah
gigi air. Keadaan awan yang tebal serta berbalam merah akan memungkinkan matahari nampak terbit secara tiba-tiba. Rupanya bukan aku sorang sahaja yang menunggu di tepi pantai pagi-pagi ini.Sungguh damai keadaannya pagi ini sehingga terlupa akan kehidupan yang ditinggalkan di daratan. Aku bergegas untuk naik ke bilik dan mandi kerana sessi Team Building akan bermula seawal 8.15 pagi.
Marey Membina Pasokan
Sessi dimulakan oleh Dr. Simon dengan kegiatan-kegiatan rutin seperti ice braking, IQ test dan kepentingan kerja berpasukan. Agak hampir sama dengan yang pernah aku hadiri cuma kaedahnya berlainan. Berbangga juga dalam satu ujian, aku sorang sahaja yang dapat menjawab dengan tepat. Dapat la button sebagai hadiah. Lepas tu bermulalah sessi berkumpulan dan aku satu team dengan Dato’ Z dalam group Barracuda. Pagi tu kami buat commando’s game & farmer’s game. Seperti yang dijangka, group aku yang paling sempoii dan hampir membolot semua kejuaraan. Kenapa? Tak percaya?

Dengan badan yang dibasahi air laut serta pasir halus pantai, tak ramai yang naik ke bilik semasa rehat tengahari. Solat boleh jamak, niat baik kan hehehe. Selepas makan tengahari sementara menunggu program bersambung
kembali, ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar. Mentang-mentang era digital, sekejap segerombolan berada di gigi air, sekejap segerombolan lagi di kawasan berbatu. Begitulah kesudahannya kami menghabiskan masa rehat tengahari.
Jam 2.15 program bersambung kembali dengan post mortem aktiviti yang berlangsung pagi tadi. Selepas itu kami beralih ke sukaneka pantai. Mata yang semakin mengantuk dan badan yang keletihan seakan tidak terasa ketika Dr. Simon mengumumkan yang segala schedule akan dihabiskan petang ini juga bagi membolehkan kami menikmati hidangan BBQ dan menonton siaran langsung AF tanpa gangguan. Yay! Lagi sekali.
Kami kembali bersemangat untuk menghabiskan program. Acara diakhiri dengan 'Simpulan Manusia'. Nampak mudah diatas kertas tetapi hakikatnya semua peserta perlu berdiri selari dengan tali yang memanjang terhampar. Kemudiannya tali yang panjang itu berlu disimpul menjadi sebuah simpulan Buku Sila tanpa melepaskan pegangan masing-masing kepada tali. Di sinilah terpancarnya sikap masing-masing yang ingin menjadi ketua tetapi tidak mengetahui apa yang dipimpinnya. Ditambah lagi dengan cabaran dan hasutan yang dibuat oleh Doktor Simon yang menggambarkan perkara sebenar yang boleh terjadi di dalam organisasi. Tetapi akhirnya, segala masalah berjaya diatasi atas semangat berpasukan. Syabas!


Snorkeling Sekali Lagi
Tamat sahaja program dan selesai solat jamak berjemaah, kami menyambung kembali aktiviti snorkeling. Walaupun sudah agak petang namun sinaran matahari yang menembusi laut tetap kelihatan indah. Kami menghabiskan petang terakhir di Redang dengan menyaksikan matahari perlahan-lahan hilang di balik lautan. Sungguh indah sekali.
BBQ Di Dalam Hujan, Konsert AF dan Peminat Zarina Yang Kuciva
Hujan lebat semasa Maghrib menyentakkan perasaan. Angin terasa begitu kuat. Aku dan beberapa rakan segera turun selepas solat kerana ingin mengambil port menonton yang terbaik di hadapan sekali. Tetapi agak mengejutkan kerana sudah ramai rupanya yang turun dan beratur dengan pinggan masing-masing untuk mengambil hidangan BBQ yang disediakan. Benar kata orang, hujan mengundang kelaparan. Tempat duduk di lantai sudah penuh rupanya dengan mereka yang makan bersila. Aku dapat juga seat yang agak selesa tapi terkebelakang sedikit. Ramai yang mengeluh kerana siaran Astro tidak diterima ketika hujan lebat sebegitu. "Ah, sudah.. dapat ke tak nak tengok ni" Aku ingat aku antara segelintir peminat AF, rupanya ramai lagi yang mengambil kesempatan sambil menjamah BBQ. Topik utama tidak lari daripada siapa yang sepatutnya keluar malam ini.
Penantian kami berakhir apabila siaran sempurna tanpa gangguan tepat pada jam 8.30 malam. Hujan masih renyai-renyai tetapi nampaknya tiada gangguan siaran. Dewan mula dipenuhi dan tanpa disedari, rupanya sorakan penyokong AF melebihi final Euro 2004. Mungkin kerana menonton beramai-ramai dan saling berbalas kutukan menjadikan Konsert AF kali ini begitu bermakna. Tetapi akhirnya penyokong Zarina juga yang kuciva va va. Langit tidah selalunya cerah dan semuanya sudah jadi sejarah.
Selepas konsert berlalu kami berkaraoke dan kemudiannya diikuti dengan tayangan larut malam Puntianak Harum Sundal Malam. Bergegar Pulau Redang dengan sistem bunyinya tatkala hantu Meriam mengilai sehingga tak ramai yang mahu menonton sehingga habis hehehehehe. Aku kembali ke bilik tatkala jam hampir ke pukul 3. Bila bunyi bersatu (dengkuran beramai-ramai) kau milikku (hapenya? nak tido pun susah.. dengkuran stereo).
Marine Park Redang

Sukar untuk melelapkan mata malam tadi biarpun badan keletihan. Pun begitu, pagi itu aku bangun awal dan kembali mencari sudut-sudut menarik untuk lensa kamera. Pagi ini kami ada lawatan ke Marine Park di Pulau Pinang. Huh? Bukan pulau tu, ini pulau berdekatan Redang aje. Menurut penganjur, kami perlu pergi seawal yang boleh kerana tempat itu akan penuh dengan pelancong menjelang jam 10. Selepas bersarapan pagi dan bergambar (lagi!) kami terus menaiki bot untuk ke Marine Park. Pengalaman baru ini sungguh menarik bilamana dapat memberikan ikan-ikan ini makan roti di atas telapak tangan sendiri. Ikan-ikan di sini sungguh manja dan jinak. Di dasar juga kelihatan beberapa ekor kerapu gergasi sedang mengintai mangsa.
Menjelang sahaja pukul 10, tempat itu sudah penuh dengan pengunjung-pengunjung yang lainnya. Mujur kami sudah mahu pulang. Ramai sungguh anak-anak ikan yang berkeliaran ketika itu hehehehe. Semasa di dalam bot ketika perjalanan pulang, kami diberikan penerangan ringkas tentang ketibaan feri menjelang pukul 1 tengahari nanti. Sesampainya di resort, aktiviti mengemas pulang dilakukan dengan gegak gempitanya.
Dalam perjalanan pulang, sempat mengabadikan beberapa shot untuk kenangan. Rasa macam tak nak balik pun ada, tapi kang sapa nak buat karangan suruh orang ke Redang? Cerita banyak pun tak guna, tengok sajalah gambar-gambar berikut dan fikirkan bila anda mahu ke sini.
Pulang, marilah Pulang
Selepas makan tengahari kami berkumpul semua dengan pengurusan resort yang mengucapkan terima kasi dengan kehadiran kami.
Sementara menantikan kehadiran feri, sessi bergambar sekali langi diadakan selagi bateri belum habis. Tak banyak perkara yang berlaku dalam perjalanan pulang kerana masing-masing sudah keletihan dan berharap dengan melelapkan mata agar perjalanan akan menjadi lebih cepat.
Perjalanan pulang melalui Marang - Dungun (kampung Ijip Wan) - Kijal - Paka - Kemaman sebelum memasuki Kuantan. Mungkin mengambil iktibar atas kemalangan tempohari pemandu bas mengambil langkah berhati-hati dan tidak memandu laju. Akhirnya, kami selamat sampai di Wisma Bernama pada jam 12.30 tengah malam.
Catatan kembara VAD